
Moto
"ULUL ALBAB TERAS KETAMADUNAN UMMAH"
Visi
Melahirkan generasi Ulul Albab yang memahami sains, falsafah dan teknologi bercirikan Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik yang berteraskan al-quran bagi menghadapi cabaran globalisasi dan mencapai kegemilangan ketamadunan ummah.
Misi
Mentarbiah pelajar untuk melahirkan insan yang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan, bertanggungjawab dan dapat berbakti kepada bangsa dan negara melalui pembudayaan al-Quran.
Program Ulul Albab ialah merupakan satu program pendidikan gabungan antara program pendidikan MRSM sedia ada (Sains Tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz Al-Quran dan Al-Sunnah untuk melahirkan generasi Ulul Albab. Program ini diharapkan akan dapat melahirkan ahli profesional dan teknokrat serta mahir dalam bidang keagamaan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab.
Program Ulul Albab diperkenalkan dalam sistem pendidikan MRSM bagi melahirkan pelajar yang mempunyai keupayaan menghadapi dunia globalisasi dan serba mencabar. Mengikut pandangan Ibn Mundzir; Ulul Albab bermaksud 'sekelompok manusia yang bertaqwa kepada Allah, berpengetahuan tinggi dan mampu menyesuaikan diri dalam segala lapisan masyarakat, elit ataupun marginal'. Program ini akan melahirkan generasi Ulul Albab yang berkebolehan menghafaz 30 Juzuk Al-Quran serta memahami tuntutan Al-Quran berdasarkan konsep baca, ingat, faham, fikir, amal dan sebar. Selain dari berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, boleh bertindak sebagai pakar rujuk serta menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa asing. Mereka juga berkeupayaan memberi pandangan dalam penyelesaian ummah, memaksimakan keupayaan berfikir serta berfikiran kreatif dan inovatif.
Program Ulul Albab merupakan satu program baru yang dilaksanakan semenjak awal tahun 2009 di MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu. Seramai 180 orang pelajar telah terpilih selepas melalui proses temuduga bagi mengikuti program ini pada pengambilan pertama yang lalu. Hasil daripada kejayaan di MRSM kota Putra, pada tahun 2010 satu lagi MRSM Ulul Albab telah dibuka di MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan, dengan pengambilan pertama seramai 180 orang pelajar.
Bagi memenuhi keperluan dan cabaran pendidikan masa kini dan akan datang, Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah) perlu mengorak langkah dengan meluaskan program Ulul Albab ke MRSM Kepala Batas agar MARA dapat melahirkan modal insan yang pintar soleh dan serba boleh iaitu yang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan, bertanggungjawab dan dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Dengan mewujudkan program Ulul Albab di MRSM Kepala Batas, ini bermakna MARA telah menyediakan program Ulul Albab pada tiga zon di Malaysia iaitu MRSM Kota Putra mewakili Zon Timur, MRSM Gemencheh mewakili Zon Selatan dan MRSM Kepala Batas mewakili Zon Utara.
0 comments:
Post a Comment