Bermulanya institusi pendidikan di Kepala Batas.......
Maktab ini mula beroperasi pada 1 Mac 2007 apabila warga kerja pertama, Tn. Hj. Shabani bin Ahmad, Timbalan Pengetua (Hal Ehwal Pelajar) melaporkan diri di Pejabat MARA Daerah Seberang Prai Utara diikuti oleh Pn. Normah bt Mohd Kasim, Timbalan Pengetua (Hal Ehwal Akademik). Kumpulan pertama kakitangan pentadbiran seramai 12 orang mula melaporkan diri di MRSM Kepala Batas pada 12 Mac 2007, diikuti oleh guru-guru pada 15 Mac 2007.
Pengambilan pelajar sulung seramai 359 orang dibuat pada 16 April 2007. Sehingga kini, maktab mempunyai lebih 60 orang guru, 30 kakitangan sokongan dan 5 orang pegawai pengurusan. Tn. Hj. Shabani bin Ahmad menjalankan tugas sebagai Pengetua MRSM Kepala Batas sehingga 30 November 2007 apabila Tn. Hj. Abd Majid bin Abd Ghani melapor diri di MRSM Kepala Batas pada 3 Disember 2007 selaku Pengetua MRSM Kepala Batas yang pertama.Keluasan keseluruhan tanah untuk pembinaan MRSM Kepala Batas adalah 35 ekar yang terletak di atas Lot 8784, Mukim 6, Kepala Batas, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang. Kampus ini mempunyai 5 blok, iaitu blok pentadbiran dan pusat sumber pembelajaran, bilik darjah dan makmal sains, asrama dan dewan selera, surau, dewan serbaguna serta pusat pelajar dan blok kuarters guru dan kakitangan. Kampus ini mampu menempatkan seramai 840 pelajar pada satu-satu sesi pengajian.
Tanggal 29 Mac 2009 bersamaan 2 Rabiulakhir 1430H, MRSM Kepala Batas ini telah dirasmikan penubuhannya oleh mantan Perdana Menteri, Y.B. Tun Abdullah bin Hj Ahmad Badawi di Majlis Perasmian Projek-projek Persekutuan Parlimen Kepala Batas yang berlangsung di Dewan Milenium, Kepala Batas.

0 comments:
Post a Comment